keluarga yang penuh dengan cinta kasih, sukses di rumah, sukses di kantor

keluarga yang penuh dengan cinta kasih, sukses di rumah, sukses di kantor

Rabu, 02 Januari 2013

Ayah Perlu Bijak Dan Berilmu

BAPAK atau AYAH adalah pemimpin yang diamanahkan mencari nafkah, menjadi pelindung serta perancang kepada keluarganya. Sebab itu, bapa perlu membuktikan dirinya sentiasa bekerja keras dan bersemangat menjadi individu terbaik buat anak dan isterinya. Mereka perlu sentiasa ingat firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu.” (Surah al-Tahrim, ayat 6)
Prinsip kepimpinan melalui teladan harus diterapkan dalam rumah kerana ia antara kaedah berkesan bagi memastikan setiap ahli keluarga berada dalam keadaan baik. Sikap sesetengah bapa yang sering membela tindak tanduk anak yang melakukan kesilapan adalah tindakan kurang bijak kerana menjadikan anak itu kelak sukar menerima teguran dan akan terus melakukan kesilapan. Jika mahu isteri dan anak menjadi insan bertakwa, suami atau dan bapa itu terlebih dahulu mesti bertakwa. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Orang lelaki adalah penjaga ke atas ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka dan perempuan penjaga ke atas rumah tangga dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. (Hadis Riwayat Imam Bukhari)



http://sphotos-e.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/185990_1558604735047_6177229_n.jpg



Tugas dan cabaran menggalas amanah sebagai ketua keluarga bukan semudah yang disangka. Sememangnya tugas mendidik anak pada zaman sekarang amat berbeza berbanding dahulu. Jika ibu bapa gagal menerapkan nilai Islam serta mengekalkan kerukunan rumah tangga, ternyata sukar bagi mereka mendidik anak mengikut acuan hidup Islam. Namun bapa moden kini, sudah melihat betapa pentingnya mereka turut terbabit secara langsung dalam urusan dan proses penjagaan anak. Sebagai bapa, didiklah anak mentaati perintah Allah sejak kecil lagi supaya apabila besar nanti ia tidak menjadi masalah besar kepada mereka untuk mematuhi perintah Allah. Jangan sesekali jadikan bebanan kerjaya sebagai alasan untuk mengurangkan tumpuan bersama antara isteri dan anak. Dalam usaha memantapkan kefahaman Islam dalam kalangan anak, bapa hendaklah mewujudkan persekitaran agama di dalam rumah tangganya. Malah ketika anak dalam kandungan ibunya lagi, proses pendidikan sudah boleh dimulakan. Ibu hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah supaya anak yang bakal dilahirkan itu nanti menjadi seorang anak yang soleh, beriman, berilmu dan bertakwa.
Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, antara tugas paling besar bagi seorang bapa ialah memastikan anaknya memiliki budi pekerti mulia. Gelaran bapa yang dianugerahkan Allah kepada hamba-Nya adalah amanah besar untuk dilaksanakan. Amanah itu kelak pasti akan dipersoalkan. Rasulullah mengingatkan kita mengenai hal itu dalam sebuah hadis:

“Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Firman Allah yang bermaksud:
Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar. (Surah al-Anfal, ayat 28)
Sebenarnya, proses mendidik anak bermula sebelum kelahirannya lagi. Ibu bapalah yang membentuk keperibadian seseorang anak yang bakal dilahirkan, katanya.
Beliau berkata, Islam amat menitikberatkan budi pekerti seseorang insan kerana ia memberi kesan besar terhadap keperibadian zuriat keturunannya. Tugas membentuk keperibadian ini adalah salah satu misi penting Rasulullah diutuskan sebagai Rasul terakhir. Sekiranya bapa berusaha mendidik anaknya dengan acuan Islam, maka dia sedang meneruskan misi Rasulullah itu. Sebagai bapa, mereka perlu membuat persediaan yang cukup rapi. Apabila anak dilahirkan, Islam menetapkan beberapa tanggungjawab penting yang perlu dilaksanakan seorang bapa. “Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah memberi nama baik kepada anak. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
Sesungguhnya kamu dipanggil pada Hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, oleh itu perelokkanlah nama-nama kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)
“Apabila nama anak itu dipanggil, maka ia menjadi doa kepadanya,” katanya. Menurutnya, bapa akan melalui cabaran getir dalam hidupnya apabila anak memasuki alam remaja. Tempoh ini merujuk kepada tempoh perubahan anak sekitar umur 15 hingga 20 tahun. Pada tahap itu anak biasanya akan merasakan mereka sudah mampu hidup sendiri, tidak perlu lagi kawalan ibu bapanya.
“Mereka lebih selesa meluahkan isi hati mereka dengan rakan-rakan, serta mula berani melakukan perkara yang menjadi kebiasaan remaja lain seperti merokok, keluar malam, mencari pasangan dan sebagainya,” katanya. Beliau berkata, bapa perlu bijak memainkan peranannya serta mempamerkan kemahiran berinteraksi supaya anak sentiasa merasa diri mereka dihargai dan disayangi.
“Apabila kurangnya komunikasi dalam keluarga, menyebabkan anak mencari pihak lain untuk mendengar luahan hati mereka. Jika bapa mampu mewujudkan hubungan akrab seperti ‘rakan’ kepada anak, membuatkan mereka selesa berkongsi kisah suka dan duka mereka,” katanya. Katanya, bapa wajar meneliti beberapa perkara bagi mendepani situasi zaman sekarang yang serba moden dan mencabar. Bapa perlu menguasai ilmu mendidik anak menurut acuan Islam.

Di dalam al-Quran, terdapat kisah yang dirakamkan mewakili situasi bapa dan anak, seperti kisah Nabi Ibrahim dan juga kisah Luqman al-Hakim. Lihatlah bagaimana Luqman al-Hakim mendidik anaknya. Budaya nasihat subur dalam keluarganya dan itulah yang patut dicontohi bapa hari ini. Luqman al-Hakim mendidik anaknya melalui mutiara nasihat. Seperti mana yang dirakamkan di dalam al-Quran: Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:

“Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” (Surah Luqman, ayat 13)
“Budaya nasihat ini perlu dilakukan dalam keadaan berkasih sayang supaya ia benar-benar menyerap ke dalam hati anak dan bukannya dalam keadaan marah,” katanya. Mohd Shahrizal berkata, anak sememangnya memandang tinggi kewibawaan bapanya kerana bapalah insan dewasa terdekat dengannya.
“Sekiranya bapa mempersiakan peluang itu, maka anak berusaha mencari orang lain untuk dijadikan contoh. Akhirnya, situasi itu memberi persepsi buruk anak terhadap bapanya,” katanya. Beliau berkata, Rasulullah begitu prihatin terhadap didikan kepada anak, termasuk anak tirinya sendiri.
Daripada Umar bin Abi Salamah, dia berkata:
“Ketika masih kanak-kanak, saya berada di bawah peliharaan Rasulullah. Pada waktu makan, saya menghulurkan tangan ke setiap penjuru dulang untuk mengambil makanan. Maka Baginda berkata kepada saya: “Wahai anakku! Bacalah Bismillah, makan dengan tangan kanan dan ambillah yang paling dekat denganmu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Lihat betapa prihatinnya Rasulullah mengenai didikan akhlak yang menyentuh soal adab ketika makan menurut Islam. Rasulullah turut mengingatkan setiap bapa supaya tidak alpa dalam mendidik anak berkaitan ibadah solat. Sebagai ketua keluarga yang mencorakkan keperibadian anak, bapa perlu sedar solat itu mempunyai fungsi besar dalam pembentukan sahsiah terpuji.
“Berdoalah kepada Allah supaya amanah (anak) dapat ditunaikan dengan baik. Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyenangkan hati (apabila) melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.” (Surah al-Furqan, ayat 74)

http://tanya-ustaz.com/ayah-perlu-bijak-dan-berilmu/

Tidak ada komentar:

Posting Komentar